''Sesungguhnya seorang lelaki itu berharta bila dia zuhud di dunia, dan sesungguhnya seorang itu adalah fakir bila dia gemar pada dunia.''-SUFFIAN AS THAURI-

Monday, 29 October 2012

Sabar Itu Separuh Dari Iman

"Demi sesungguhnya ! kami akan menguji kamu  dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata :

"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari tuhan mereka serta rahmatNya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayah"
(Surah al-Baqarah 155-157)



Belajar DIAM dari banyaknya BICARA,
Belajar SABAR dari sebuah KEMARAHAN,
Belajar KESUSAHAN dari hidup SENANG,
Belajar MENANGIS dari suatu KEBAHAGIAN,
Belajar KEIKHLASAN dari KEPEDIHAN,
Belajar TAWAKKAL dari UJIAN,
Belajar REDHA dari satu KETENTUAN.

Thursday, 25 October 2012

Iktibar Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Hari Raya korban atau Hari Raya Haji dikaitkan dengan peristiwa pengorbanan dua insan mulia Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail di dalam mentaati perintah Allah Ta'ala.

Dari peristiwa tersebut, dapatlah kita mengambil pengajaran tentang contoh ketaatan seorang anak yang soleh terhadap ayahnya. Dalam hal ini, sebagai anak sudah menjadi kewajipan kita untuk mentaati, menghormati, mengasihi dan menjaga ibu bapa. Kita perlu ingat bahawa ibu bapa adalah orang yang telah banyak bersusah payah demi memelihara dan membesarkan kita. Mereka rela mengorbankan tenaga, masa, wang ringgit dan kepentingan sendiri demi keselesaan dan kebahagiaan anak-anak.

Namun apa yang mendukacitakan terdapat segelintir anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka. Mereka tidak boleh ditegur bahkan melawan dan membantah dan tidak mahu menerima nasihat. Bahkan ada yang sanggup menembak ibunya walaupun baru berusia 15 tahun .Inikah balasan yang sepatutnya diterima oleh ibu bapa yang telah bersusah payah memelihara dan membesarkannya? Allah Subhanahu Wata'ala telah mengingatkan dalam Al-Qur'an dalam Surah Al Israa' ayat 23 yang bermaksud :
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan kamu dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia ”

Jika kita amat-amati kembali tentang ketaatan Nabi Ismail Alaihissalam terhadap ayahandanya, tidak dapat diragukan lagi ianya adalah hasil dari didikan yang teratur dan sempurna. Oleh itu, pendidikan yang sempurna amat mustahak diberikan kepada anak-anak. Dalam hal ini, agama Islam telah menganjurkan umatnya supaya menerapkan ilmu agama kepada anak-anak sejak mereka dalam kandungan lagi di mana ibu-ibu yang mengandung digalakkan untuk membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an sebagai didikan rohani kepada anak-anak dalam kandungan itu. Setelah dilahirkan pula, sunat diazankan pada telinga kanan dan iqamah pada telinga kiri anak-anak tersebut.Setelah itu ajarkanlah anak-anak dengan ilmu agama di samping ilmu-ilmu pengetahuan yang lain. Dan didiklah mereka dengan akhlak yang mulia kerana ia akan membentuk peribadi dan tingkah laku mereka setelah dewasa kelak. Jika jiwa anak-anak ini telah dididik dan tersemai dengan ajaran agama Islam yang kuat, insya Allah mereka akan menjadi orang yang beriman, cinta pada Allah dan Rasul-Nya, menjadi anak yang soleh, berbakti kepada agama, ibu bapa, masyarakat dan negara serta mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Inilah hasrat kita setiap ibu bapa terhadap anak-anak kita .

Oleh itu adalah amat penting supaya ibu bapa sentiasa mengambil perhatian terhadap anak-anak mereka tanpa membiarkannya. Jika terdapat tingkah laku dan kelakuan yang tidak wajar apatah lagi jika bertentangan dengan lunas-lunas agama Islam, maka perbaiki dan perbetulkanlah dari awal-awal lagi dan jangan menunggu sehingga masalah itu menjadi besar dan berat serta sukar untuk ditangani.Dalam hal ini, jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka leka dan lalai dalam mentaati perintah Allah seperti tidak solat , tidak menutup aurat, tidak menghormati orang tua dan sebagainya atau anak-anak itu membuat perkara yang dilarang oleh agama seperti pergaulan bebas, berpakaian mendedahkan aurat, mewarnakan rambut, terlibat dengan gejala dadah dan sebagainya, maka ibu bapa adalah bertanggungjawab untuk menegur, melarang, mencegah, menasihati dan mendidik anak-anak mereka dan tidak sepatutnya membiarkannya. Ingat dan renungkan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
Tiga golongan yang telah Allah haramkan baginya syurga , orang yang ketagih arak , si penderhaka kepada ibubapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya (Riwayat Ahmad).

Hayatilah dan ambillah iktibar dari peristiwa besar ini dan jangan mencari terlampau banyak alasan untuk melakukan ketaatan terhadap perintah Allah. Contohilah kedua-dua insan mulia ini yang sanggup melaksanakan perintah Allah walaupun terpaksa mengorbankan sesuatu yang amat disayangi. Kepada Ibu Bapa didiklah anak-anak mengikut lunas agama agar lahir nanti anak yang menyejukkan mata ibubapanya dan kepada anak-anak hargailah ibubapa serta jangan sekali-kali derhaka , ingatlah jasa ibubapa tiada taranya.